Nama Botani: Centella
asiatica (L) Urban
Nama lain: Pennywort
(Inggeris), Pegaga (Melayu), Pegagan (Filipina), Buabok (Thai), Ching Chow Sui
(Cina), Mandookaoarni (Sanskrit), Gotu cola (India)
Famili: Umbelliferae
Pengenalan:
Pegaga (Centella asiatica
(L) Urban) berasal dari kawasan Asia dan juga Afrika Timur iaitu India, Sri
Lanka dan Madagascar. Kemudian ia tersebar ke kawasan Asia Tenggara dan
kawasan-kawasan lain seperti Malaysia, Pakistan, China, Jepun, Afrika Timur,
West Indies, Amerika Selatan dan Australia. Ia didapati tumbuh meliar di
kawasan lembap yang berdekatan dengan air (di persisiran sungai dan tali air).
Kebanyakan spesies boleh tumbuh di kawasan terbuka manakala terdapat juga
spesies yang memerlukan keadaan lindungan yang sederhana. Pegaga tumbuh menjalar
di atas tanah dan mengeluarkan akar pada setiap ruas daun. Daunnya berbentuk
otak atau ginjal dengan bahagian tepi daun bersifat licin atau bergerigi
mengikut jenis. Lebar daun antara 3–5 cm dan panjang tangkai daun boleh
mencapai 15 cm mengikut kultivar, kesuburan dan kepadatan tanaman. Bunganya
dalam jambak 3–4 kuntum dengan kelopak berwarna putih atau merah jambu. Buahnya
berbentuk pipih berukuran di sekitar 3 mm dan kelihatan seperti biji cili.
Terdapat 3 jenis pegaga iaitu Centella asiatica, Merremia emarginata dan
Hydrocotyle spp. Spesies asiatica lebih dikenali kerana dapat mengubati
berbagai-bagai jenis penyakit.
Khasiat
dan Kegunaan:
Pegaga
mengandungi bahan aktif seperti triterpenoid glikosida (terutama asiatikosida,
asid asiatik, asid madecassik, madikassosida), flavenoids (kaemferol dan
quercetin), volatile oils (vallerin, camphor,
cineole dan sterols tumbuhan seperti campesterol, stigmasterol, sitosterol),
pektin, asid amino, alkaloid hydrocotyline, myositol, asid bramik, asid
centellik, asid isobrahmik dan asid betulik. Di Malaysia, pegaga amat popular
di kalangan tiga kaum utama negara ini iaitu Melayu, Cina dan India. Bagi kaum
Melayu, ia di makan secara segar sebagai ulam, bagi kaum Cina digunakan sebagai
minuman penyejuk badan, manakala bagi
kaum India, digunakan sebagai tonik kecerdasan minda.
No comments:
Post a Comment